Thursday, December 6, 2007

Mengembalikan semangat juang DBP

Oleh: LAWRENCE QUEK (WARTAWAN UTUSAN)

KAMUS Dewan menjelaskan, perkataan ‘mandul’ membawa maksud ‘tidak boleh beranak’ dan ‘tidak produktif’ serta mempunyai perkataan seerti iaitu ‘majir’.

Perkataan ‘kemandulan’ pula dirujukkan kepada maksud ‘perihal tidak boleh beranak’ dan dalam persoalan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dikatakan menghadapi masalah kemandulan, ia menjurus kepada tafsiran bahasa badan ini tidak produktif dalam tugas-tugas yang diamanahkan.

DBP mandul? Ya atau tidak, hanya badan ini yang boleh menjawab dan memberi penjelasan kerana tidak ramai yang tahu apakah yang dilakukannya, dan setakat mana pencapaiannya.

Dalam situasi semasa, persoalan menjadi semakin rumit berikutan timbulnya pelbagai masalah berkaitan dengan bahasa Melayu - atau bahasa Malaysia.

Antara permasalahan yang menjadi hambatan termasuklah penggunaannya dalam pengajaran Matematik dan Sains, serta penggunaannya dalam semua sektor urusan sama ada kerajaan atau swasta.

Pertanyaan, apakah bahasa ini digunakan secara penuh dalam urusan harian rakyat negara ini sama ada rasmi atau tidak rasmi?

Jawapannya, pandang dan dengar sekeliling kerana jawapannya jelas lagi nyata.

Mandul dan kemandulan semacam suatu terkaman bahawa DBP yang mencapai usia emas sudah berada pada tahap yang sama seperti wanita berusia yang tidak boleh mengandung dan beranak.

Kenyataan ini pastinya merupakan satu tempelakan dan kecaman yang menyatakan bahawa DBP sebagai badan bahasa dan sastera negara tidak berbuat sesuatu, atau tidak bekerja, atau gagal menjalankan tugas.

Sama ada mahu melenting atau tidak mempedulikannya, terpulang kepada warga badan ini untuk menilai semula kedudukan dan prestasi, dan melihat semula sejarah dan pencapaian.

Tidak ada penjernihan dan penilaian yang paling baik selain daripada bermula dari dalam, dan jika sejarah dan pencapaian masa lalu menjadi ukuran, tidak salah untuk menjadikannya sebagai panduan dan pembakar semangat.

Hari ini, masalah dan persoalan bahasa Melayu tidak seperti ketika DBP ditubuhkan, atau pada tahun-tahun awal penubuhan, tetapi semangat dan perjuangan yang sanggup menyanggah arus sepatutnya ada dalam diri setiap warganya.

Ya, memang benar bahasa dan ilmunya tidak statik sama seperti persekitaran dan demografi yang sentiasa berubah.

Barangkali, apa yang dilakukan untuk bahasa hari ini tidak mencukupi hingga ramai yang berada dalam ketidakpastian mengenai pencapaiannya, dan jika adapun, ia terlalu kurang untuk dibanggakan.

Sejajar dengan kedinamikan bahasa dan keperluan masa kini, pastinya bahasa Melayu menerima banyak masukan istilah atau perkataan baru.

Tidak dinafikan DBP menerima masukan perkataan yang diambil daripada bahasa suku-suku kaum di Malaysia serta serumpun, tetapi dalam sesetengah bidang, tentunya, istilah atau perkataan yang lebih bersifat tempatan dan serantau tidak dapat mengisi kekosongan ini.

Jadi apakah salah memelayukan istilah atau perkataan bahasa Inggeris untuk diterima pakai dalam sistem bahasa Melayu?

Secara semangatnya, ia mungkin suatu pencemaran atau memaparkan sikap masih terbelenggu dengan kolonialisme.

Bagaimanapun harus diingat, sistem bahasa Inggeris yang nampak begitu gah dan ampuh hari ini juga mengambil bahasa-bahasa luar secara meluas sama ada diambil secara langsung atau melalui proses pembentukan dan peristilahan semula.

Tidak salah untuk mengambil dan memelayukan sesetengah istilah atau perkataan asing - di luar lingkungan senegara dan serumpun jika sesuatu perkataan ini merujuk kepada maksud tertentu dan khusus.

Pada masa yang sama, DBP melalui MABBIM (Majlis Bahasa Brunei - Indonesia - Malaysia) dan MBAM (Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu) perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam mencari dan mencipta istilah.

Kewujudan kedua-dua majlis ini wajar dimanfaatkan secara penuh kerana ia turut dianggotai oleh pakar bahasa Melayu dari seluruh dunia.

DBP hari ini sewajibnya menjadi seekor singa yang dipeduli bila mengaum mengenai bahasa, tidak gentar atau terikat dengan hukum-hakam pentadbiran.

Sama seperti sifat bahasa yang tidak statik, badan ini dan warganya juga perlu mempunyai ciri dan semangat yang sama.

Cuma dalam kecelaruan mandul dan kemandulan kali ini, amat malang bagi DBP apabila dikaitkan dengan perkataan seperti bajet dan istilah-istilah pangkat polis.

Sekali lagi DBP harus menjadi kambing hitam?

No comments: